NASI LEMAK
Nasi lemak merupakan salah satu makanan kegemaran bagi orang Malaysia terutamanya sebagai sarapan pagi. Nama Nasi Lemak mendapat gelaran daripada penggunaan santan untuk memasak nasi. Santan khususnya merupakan bahan masakan yang sering digunakan oleh masyarakat melayu tradisional. Oleh itu, Nasi Lemak dikaitkan dengan penggunaan santan dalam nasi yang membuatkan rasa nasi itu berlemak. Nasi lemak biasanya dihidangkan dengan telur, timun, ikan bilis goreng ,kacang goreng dan sambal. Kini, pelbagai hidangan disajikan bersama nasi lemak seperti ayam, daging, sotong, udang, limpa dan hati lembu.
|
LEMANG
Lemang ialah sejenis makanan tradisi yang disukai orang ramai. Lemang dijual sepanjang tahun, tetapi lebih meluas pada hari perayaan seperti Hari Raya Aildilfitri. Semua orang daripada pelbagai kaum suka makan makanan tradisi ini. Lemang merupakan hidangan istimewa di Malaysia. Makanan tradisional ini dihidangkan bersama rendang atau serunding. Lemang diperbuat daripada beras pulut dan santan yang dimasukkan ke dalam ruas buluh yang dilapik dengan daun pisang, sebelum dibakar sehingga masak. Kaedah memasak yang menggunakan buluh ialah cara memasak kaum asli di Malaysia.
|
OTAK-OTAK
Otak-otak adalah sejenis makanan tradisional di perkampungan nelayan. Kebiasaannya dimakan sebagai makanan ringan di jamuan petang. Terdapat dua jenis otak-otak di Malaysia iaitu “Otak-otak Terengganu” dan “Otak-otak Johor”. Pada lazimnya ia dibungkus dengan daun kelapa atau daun nipah. Kebiasaan otak-otak diperbuat daripada isi ikan laut. Bagi ikan air tawar yang sesuai untuk dibuat otak-otak ialah ikan tilapia merah, patin dan keli. Otak-otak yang dibungkus dengan daun kelapa atau daun nipah perlu dibakar di atas dapur arang atau dapur biasa. Otak-otak lebih enak dimakan ketika masih panas.
|
TAPAI
Tapai ialah sejenis penganan yang dibuat daripada pulut. Terdapat 2 jenis tapai iaitu tapai ubi dan tapai pulut. Biasanya tapai pulut lebih popular jika dibandingkan dengan tapai ubi.
Bahan-bahan untuk membuat tapai tidaklah terlalu rumit. Tapai pulut memerlukan bahan seperti pulut, ragi dan sedikit gula. Ketiga-tiga bahan ini hendaklah dicampurkan sehingga sebati. Kemudiannya akan dibungkus sedikit-sedikit dengan menggunakan daun yang disebut sebagai daun tapai. Tetapi pada zaman ini, daun tapai semakin sukar didapati dan kebanyakan tapai dibungkus dengan menggunakan daun pisang. Terdapat sedikit perbezaan rasa antara tapai yang dibungkus dengan daun tapai dan tapai yang dibungkus dengan daun pisang. |